Teguran dan Nasihat perlu dilihat sebagai satu arah membentuk diri NASIHAT menasihati dan berpesan ke arah kebaikan sudah menjadi budaya hidup manusia khususnya daie. Sememangnya asihat tidak dapat dipisahkan daripada ajaran Islam kerana Islam adalah al-Din yang bercirikan nasihat.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Maka sahabat pun bertanya: Kepada siapa? Jawab Baginda: Kepada Allah, kepada Kitab-Nya, kepada Rasul-Nya, kepada pemimpin kaum muslimin dan juga orang awam muslimin.” (Hadis riwayat Muslim)
Lebih menariknya, amalan nasihat termasuk antara amalan penyelamat seseorang daripada terjerumus ke lembah kerugian.
Firman Allah bermaksud:
“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-’Asr, ayat 1-3)
Tidak dapat dinafikan, kita sebagai manusia tidak boleh hidup bersendirian, jauh daripada kelompok masyarakat ramai. Dengan itu, hidup bermasyarakat menjamin kerukunan dan keharmonian sejagat. Nasihat menasihati sewajarnya dijulang supaya yang benar dan hak dapat dijunjung tinggi bersama, sementara yang salah dan batil pula sama-sama dijauhi.
Bagaimanapun, ada segelintir manusia yang melenting atau marah apabila diberi nasihat dengan alasan dia insan bijak dan pandai dalam segala bidang. Sedangkan, manusia dengan kesempurnaan kejadiannya dan keistimewaannya, selamanya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan serta kesalahan kerana itu sifat semula yang diciptakan Allah.
Merujuk kepada hadis berkisar mengenai Islam sebagai agama nasihat, Rasulullah SAW membahagikan nasihat kepada beberapa jenis yang sewajarnya diterapkan penghayatannya dalam rentak kehidupan seharian iaitu:
1. Nasihat kepada Allah yang melahirkan Muslim bertakwa kepada-Nya.
Setiap Muslim wajib beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman yang tidak terselit sebarang rasa syak dan ragu yang boleh mencacatkan hubungannya dengan Allah.
Pada masa sama, setiap Muslim dituntut patuh dan tunduk kepada segala perintah Ilahi serta menjauhi larangan-Nya.
Lebih penting, pengisian iman dalam sudut jiwa akan menginsafkan setiap insan dari mana dia datang, untuk apa dia hidup di dunia ini dan ke mana pula dia akan kembali.
Iman juga akan menimbulkan kesedaran setiap insan yang bernyawa bahawa sesudah hidup di dunia ini ada lagi kehidupan kekal yang pasti dilalui.
Pendek kata, iman adalah harta tidak ternilai yang wajib diburu dan dijejaki setiap insan di dunia ini supaya berbahagia di dunia dan akhirat. Seterusnya, kecintaan kepada Allah hendaklah mengatasi kecintaan kepada dunia, isteri dan anak.
2. Nasihat kepada Kitab-Nya pula bermakna menjulang al-Quran sebagai rujukan utama dalam menyampaikan pedoman dan panduan hidup Muslim seharian. Ia mengandungi hukum-hakam, petunjuk serta peringatan kepada orang beriman kepada Allah.
Oleh itu, setiap Muslim dituntut mempraktikkan segala ajaran terkandung dalamnya, tidak cukup sekadar membacanya dan mengetahui hukum-hakamnya, tetapi diterjemahkan dalam kehidupan.
3. Nasihat kepada Rasul-Nya pula bererti meyakini kebenaran perutusan Rasulullah SAW untuk membawa rahmat untuk alam semesta.
Setiap Muslim wajib menerima segala apa dibawa olehnya sebagai ketaatan mutlak kepada Allah dan berkewajipan menghidupkan sunnah Rasulullah SAW, membanteras segala bentuk bid’ah, khurafat serta ajaran sesat yang bertentangan dengan syarak.
Apabila ada kesepaduan kecintaan kepada Allah dan Rasulullah SAW, natijahnya seorang Muslim akan dapat mengecapi nikmat kemanisan iman dalam hatinya.
4. Nasihat kepada pemimpin Muslim pula, kita sebagai rakyat hendaklah memberi sumbangan bermakna kepada kerajaan apabila kerajaan melaksanakan rancangan dan program yang memberi kebaikan serta faedah untuk rakyat.
Sebaliknya, jika pemimpin melakukan sesuatu menyebabkan kehancuran dan kemusnahan kepada negara, maka rakyat berhak menegur serta memberi nasihat yang membina dalam usaha mengelak negara daripada terjerumus ke lembah kebinasaan.
Ini penting bagi menjamin kerukunan, kesejahteraan serta keharmonian kalangan rakyat dengan kerajaan.
Khalifah Abu Bakar al-Siddiq ketika menyampaikan ucapan dasarnya berkata: “Apabila aku melakukan sesuatu yang betul maka bantulah aku, dan apabila aku menyeleweng maka perbetulkan daku.”
5. Akhirnya, nasihat kepada umat Islam seluruhnya mencerminkan kesatuan hati dan keserasian jiwa orang Islam dalam menelusuri titian hidup penuh pancaroba.
Nasihat ini termasuk dalam segala tindak tanduk dan kegiatan kemasyarakatan supaya ia selari dengan landasan Islam.
Ia merangkumi hubungan institusi kekeluargaan, sesama jiran, masyarakat dan juga dalam pelbagai lapangan hidup manusia.
Ringkasnya, nasihat memainkan peranan penting kerana ia bakal menyuburkan perasaan kasih sayang dan kerjasama yang erat sesama anggota masyarakat bagi mengekalkan kelangsungan masyarakat yang harmoni lagi sejahtera.
Demikianlah indahnya konsep nasihat menasihat dalam Islam yang mencorakkan identiti sebuah masyarakat Islam yang sejahtera lagi harmoni.
Natijahnya, kesatuan ummah dapat dijana di samping pengukuhan iman kepada Allah selain perhiasan ketrampilan akhlak
Islam terukir indah pada keperibadian Muslim. Dengan adunan istimewa ini, barulah umat Islam mampu memartabatkan kembali keunggulan dan kecemerlangan dalam segala lapangan hidup sebagaimana pernah dirintis generasi Rasulullah SAW dan generasi sahabat.